KUALA LUMPUR, 13 Sept : Prospek pemulihan ekonomi Malaysia nampak semakin cerah dengan aliran masuk bersih modal pelabur asing yang didorong oleh kemajuan positif Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menerusi catatan di akaun Facebooknya, beliau berkata petanda positif itu menetapkan nada dan hala tuju pemulihan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh untuk suku keempat 2021.
“Malaysia mencatatkan petanda prospek pemulihan ekonomi yang semakin cerah.
Sejumlah RM7.7 bilion telah dicatatkan dari segi aliran masuk modal pelabur asing pada bulan Ogos dan ini merupakan nilai tertinggi sejak Jun 2020. Nilai ini juga telah mengimbangi aliran keluar dua bulan sebelum itu,” katanya.
Menurut Perdana Menteri pelabur asing telah menjadi pembeli utama dengan pelaburan bersih di pasaran bon Ringgit berjumlah RM6.6 bilion pada Ogos 2021 berbanding negatif RM3.6 bilion pada Julai lepas sementara pelaburan bersih asing di dalam pasaran ekuiti bulan lepas mencecah RM1.1 bilion berbanding negatif RM1.3 bilion dalam bulan sebelumnya.
Beliau berkata ini merupakan bukti keyakinan pelabur dan pengurus dana terhadap prospek pertumbuhan negara, serta kesinambungan dasar-dasar kerajaan.
Selain itu, Ismail Sabri berkata nilai harga pasaran ekuiti negara juga menjadi tarikan utama aliran masuk dana pelabur asing berbanding pasaran ekuiti negara lain di rantau ini.
Katanya setakat Ogos 2021, pegangan pelabur asing bagi bon Kerajaan Malaysia meningkat sebanyak RM23.9 bilion kepada RM226.1 bilion.
Menurut Perdana Menteri kerajaan menjangkakan bahawa momentum pemulihan pada suku keempat 2021 akan diteruskan pada tahun hadapan, dengan faktor kepada pertumbuhan negara akan memanfaatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 Malaysia.
“Bersama kita memantapkan lagi Pelan Pemulihan Negara yang telah menambah baik situasi keseluruhan kesihatan awam serta pemulihan pembukaan sektor ekonomi secara beransur-ansur dengan adanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), katanya.
— BERNAMA