KUALA LUMPUR, 18 Mei: Laporan awal pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) yang dilaksana kumpulan penyelidik akan dibentang pada mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Sapiah Mohd Nor.
Menurutnya, pindaan dan penambahbaikan akta itu ketika ini masih lagi di peringkat libat urus.
“Dalam masa terdekat akan dibentangkan kerana saya sendiri belum mengetahui hasil libat urus peringkat awal yang dilaksanakan,” katanya.
Rubiah ditemui media selepas merasmikan Majlis Anugerah Mahasiswa Inspirasi (AMI) Jabatan Kemajuan Orang Asli 2025, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, pindaan itu kelak akan merangkumi beberapa pindaan termasuk takrifan Orang Asli selain pembangunan tanah dan kebajikan masyarakat tersebut dan beberapa kriteria yang longgar di dalam akta sedia ada,
“Kita cuba ketatkan lagi supaya kebajikan, keselesaan dan hak Orang Aslu dapat ditingkatkan berdasarkan perundangan yang akan menguntungkan bukan sahaja Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) malah pentadbiran masyarakat Orang Asli keseluruhannya,” ujarnya.
Media melaporkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan meminda dan menambah baik Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) pada sidang Parlimen sebelum akhir tahun ini atau selewat-lewatnya pada pertengahan tahun depan. – TVS