KOTA KINABALU, 18 Mei: Seorang remaja lelaki cedera di bahagian kaki selepas kereta Perodua Axia yang dipandunya terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Taman Iramanis, Jalan Lintas pagi tadi.
Mangsa berusia 17 tahun tersepit dalam kenderaan sebelum dikeluarkan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA).
Komander Operasi, PBK I Saflan Bin Sapri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.32 pagi dan jentera tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Pasukan EMRS BBP Kota Kinabalu turut memberikan rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.19 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di kawasan kejadian. – TVS