KUCHING, 18 Mei: Sebuah kereta Proton Saga terbakar di premis menjual kereta terpakai di Jalan Batu Kawa tengah malam tadi.
Komander Operasi, Abdul Hakim Supian berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 12.51 tengah malam dengan menggerakkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang terbakar keseluruhan di bahagian enjin.
“Pihak bomba memadamkan kebakaran menggunakan salur bantu mula hose reel air dari tangki jentera sehingga selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada 1.07 pagi, tiada mangsa yang terlibat dilaporkan dalam insiden tersebut.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
“Setelah memastikan keadaan selamat dan kebakaran telah padam sepenuhnya pihak bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya.-TVS