JAKARTA, 18 Mei: Kelab ragbi dari Malaysia mengungguli Kejuaraan IMR Jakarta Ragbi 2025 apabila Muamalat Bullets muncul juara dalam kejohanan yang berlangsung di Padang Ragbi Gelora Bung Karno semalam.
Muamalat Bullets berjaya menewaskan juara bertahan yang juga dari Malaysia, PDRM RMP Blues dengan keputusan 7-5 dalam perlawanan akhir.
Kemenangan tersebut mengukuhkan dominasi Malaysia dalam kejohanan tersebut sekali gus membuktikan keupayaan di pentas antarabangsa.
Pengurus RMP Blues, Nasri Mansor berkata, walaupun pasukannya tidak berjaya mempertahankan kejuaraan, beliau tetap berbangga kerana kelab dari Malaysia masih berjaya menguasai kejohanan.
“Kejayaan hari ini milik Muamalat Bullets yang juga dari Malaysia bagaimanapun ini merupakan perkembangan yang baik untuk terus memajukan sukan ragbi negara,” katanya.
Beliau turut menyatakan penguasaan kelab Malaysia dalam kejohanan tersebut memberi pengiktirafan dan pendedahan lebih besar kepada ragbi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Selain itu, pasukan veteran, RMP Blues turut mencipta kejayaan selepas menjuarai kategori Plate manakala Dragon Dingoes muncul naib juara kategori wanita.
Kejohanan tersebut juga dianggap sebagai medan pemanas badan menjelang Kejohanan Piala Agong yang dijadualkan berlangsung pada Ogos. – TVS