TANJUNG MANIS, 17 Mei: Projek naik taraf Lapangan Terbang Tanjung Manis dijangka meningkatkan keupayaan dan memperluaskan jaringan penerbangan sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di wilayah tengah.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia juga akan menjadikan Tanjung Manis sebagai pusat pentadbiran bersepadu Kerajaan Sarawak dan hab ekonomi utama pelbagai sektor yang mesra pelabur.
“Ini turut membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat serta menarik pelaburan dari dalam dan luar negara.
“Ia sekali gus akan dapat mencapai unjuran multiplier effect yang membawa kesan berganda kepada rakyat di wilayah ini dengan disokong peningkatan pelaburan, perniagaan dan pelancongan serta inisiatif berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Naik Taraf Lapangan Terbang Tanjung Manis yang disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada majlis itu, empat opsyen penaiktarafan dibentangkan dengan anggaran kos antara RM324 juta hingga RM830 juta merangkumi pemanjangan landasan, pembinaan terminal baharu, menara kawalan dan jalan bergantung kepada keperluan operasi pesawat.
Menurut Len Talif, usaha menaik taraf Lapangan Terbang Tanjung Manis juga akan melengkapkan pembangunan infrastruktur penting lain seperti Jambatan Batang Rajang dan Jalan Pasi menjadikan kawasan Delta Rajang sebagai zon pembangunan baharu yang lebih berdaya saing.
“Kedua-dua projek ini merupakan double game changer yang mampu mengubah landskap pembangunan kawasan ini sekali gus membuka potensi besar dalam melonjakkan ekonomi wilayah ini,” ujarnya.
Majlis turut menyaksikan penyerahan Surat Hak Milik Tanah secara simbolik kepada 124 penerima Kampung Belawai, 84 penerima Rumah Panjang Sebayang dan Tusuk.
Turut diserahkan adalah Projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Belawai kepada kontraktor yang akan melaksanakan projek tersebut.
Projek pembangunan melibatkan peruntukan berjumlah RM15 juta dengan 72 lot (Peringkat 1) daripada jumlah keseluruhan 236 lot bagi menampung keperluan penduduk setempat. – TVS