KUCHING, 17 Mei: SME Corp. Malaysia memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Sarawak untuk pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Datuk Nainy berkata, kerjasama tersebut bertujuan meningkatkan daya saing PMKS di Sarawak melalui pelaksanaan Pelan Strategik Perniagaan (BSP) yang memberi fokus kepada lima bidang utama.
“Antaranya ialah penyertaan PKS dalam rantaian nilai industri berimpak tinggi, pengantarabangsaan PMKS, pengembangan perusahaan mikro, pendigitalan PKS dan pengukuhan peranan SME Corp. dalam ekosistem keusahawanan negara,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam.
Menurutnya, SME Corp. Malaysia turut menjemput Awang tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan untuk merasmikan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 28 Mei 2025 di Sarawak Sports Village.
Program tersebut menyasarkan pembangunan bakat keusahawanan dalam kalangan belia Bumiputera melalui latihan intensif dan modul pembentukan jati diri.
Turut hadir Timbalan Menteri Perindustrian dan Pelaburan Sarawak, Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat Khas MINTRED, Dato Sri Mohd Naroden Majais serta Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkarnain Masron. – TVS