SELANGAU, 17 Mei: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberi jaminan isu hak milik tanah komuniti Skim Penempatan Semula (SPS) Nanga Sekuau akan dimaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak bagi mencari penyelesaian segera.
Beliau berkata, sebahagian daripada tanah di kawasan tersebut sebelum ini dibiayai Kerajaan Persekutuan semasa penempatan semula diwujudkan.
Bagaimanapun menurutnya, kini pihaknya sedang berunding agar tanah tersebut dapat diserahkan kembali kepada Kerajaan Sarawak.
“Penyerahan tanah ini penting bagi membolehkan pelan pembangunan dijalankan termasuk penyediaan kemudahan asas seperti balai polis, klinik dan sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas sempena 50 tahun penubuhan SPS Nanga Sekuau pada Sabtu.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan, isu tersebut akan diteliti melalui peranannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kerajaan Persekutuan bersetuju bahawa mana-mana tanah milik Persekutuan yang tidak digunakan akan diserahkan semula kepada Kerajaan Sarawak. Kawasan ini adalah penempatan semula, jadi segala kemudahan menjadi keutamaan,” ujarnya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang memohon agar isu hak milik tanah diberi perhatian setelah lebih 50 tahun penduduk menetap tanpa geran rasmi.
Menurutnya, pemilikan tanah yang sah bukan sahaja menjamin ketenangan hidup penduduk malah membuka peluang kepada mereka untuk memajukan tanah masing-masing secara lebih berdaya saing.
Mengenai sejarah kawasan tersebut, Fadillah menjelaskan, penubuhan SPS Nanga Sekuau adalah sebahagian daripada strategi keselamatan negara dalam menangani ancaman Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) pada tahun 1970-an.
Beliau berkata, masyarakat Iban telah dikumpulkan dan ditempatkan semula di kawasan tersebut bagi memudahkan kawalan keselamatan dan penyediaan infrastruktur asas menerusi pelaksanaan Operasi RASCOM.
“Kawasan ini merupakan lambang kejayaan dasar keselamatan negara pada ketika itu,” jelasnya.-TVS