LIMBANG, 17 Mei: Tanggal 16 Mei setiap tahun merupakan tarikh keramat yang diraikan bagi memperingati jasa dan pengorbanan para pendidik.
Pada hari istimewa ini, guru-guru lazimnya dihujani dengan ucapan penghargaan serta pelbagai bentuk hadiah daripada anak murid sebagai tanda terima kasih.
Menariknya di Limbang sekitar 100 orang guru di daerah itu menerima hadiah unik iaitu secawan cendol daripada Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Cawangan Limbang hari ini.
Hadiah itu disampaikan pada Majlis Mari Raikan Sambutan Hari Guru 2025 bersama KGBS Cawangan Limbang di Tremendous Cafe Limbang.
Pengerusi KGBS Cawangan Limbang Sahlan Aji berkata hadiah itu diserahkan kepada guru-guru sebagai tanda penghargaan sempena Sambutan Hari Guru.
“ KGBS Cawangan Limbang amat menghargai peranan dan sumbangan warga pendidik dalam melahirkan modal insan berkualiti sebagai pewaris kesejahteraan dan pembangunan negara,”katanya pada program itu.
Beliau berkata peranan dan tanggungjawab guru amat besar dan mencabar kerana mereka bukan sahaja mendidik di sekolah tetapi memainkan peranan penting dalam mencorak generasi akan datang yang mampu berdaya saing.
Selain penyerahan 100 gelas cendol percuma, turut diadakan Pertandingan Ucapan Hari Guru Kreatif sempena Sambutan Hari Guru 2025. – TVS.