KUCHING, 17 Mei: Vendor tempatan memainkan peranan yang semakin penting dalam memperkukuh ekosistem sektor tenaga di Sarawak, sekali gus menyokong aspirasi negeri untuk menjadi peneraju tenaga boleh diperbaharui di rantau ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.
Beliau yang berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Vendor Sarawak Energy (SAVEA) 2025, mengakui sumbangan vendor terbukti melalui prestasi cemerlang mereka dalam melaksanakan projek-projek Sarawak Energy, meskipun berdepan cabaran geografi dan logistik.
“Namun, segala pencapaian ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sumbangan penting daripada ekosistem vendor Sarawak Energy.
“Kerja-kerja anda membolehkan kami menyediakan elektrik ke rumah panjang dan kampung-kampung di luar bandar, meningkatkan kebolehpercayaan grid di bandar-bandar yang pesat berkembang di seluruh Sarawak, serta menyumbang kepada aspirasi Sarawak untuk menjadi pengeksport bersih tenaga boleh diperbaharui pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Vendor Sarawak Energy (SAVEA) 2025 di sini, semalam.
Ujarnya, sebagai pemain utama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, Sarawak Energy telah menunjukkan kepimpinan dalam memacu pelbagai inisiatif ini.
Dalam masa sama Julaihi menambah bahawa sehingga 2024, sebanyak 5,335 vendor telah berdaftar di bawah Sistem e-Perolehan Sarawak Energy (SEPRO) termasuk kontraktor, perunding dan pembekal.
Beliau turut menggalakkan vendor untuk memanfaatkan peluang dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan digital, yang dijangka akan memainkan peranan besar dalam meningkatkan daya saing sektor tenaga wilayah ini.
Majlis SAVEA 2025 ini bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan vendor yang telah menyumbang kepada kejayaan projek-projek Sarawak Energy dengan mengutamakan keselamatan, kualiti, dan kelestarian. – TVS