KUCHING, 16 Mei: Enjin sebuah kereta jenis Hyundai Hatchback musnah sepenuhnya selepas terbakar di sebuah bengkel di Jalan Kereta Api, di sini, malam ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 7.25 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang digerakkan ke lokasi.
“Tindakan awal cuba dilakukan pekerja bengkel menggunakan satu unit alat pemadam api, namun api tidak dapat dikawal dan terus marak.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian menjalankan pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari jentera bomba,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, operasi overhaul turut dijalankan bagi memastikan api benar-benar padam sebelum pasukan berkenaan berangkat pulang ke balai.
Seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera FRT dan satu unit EMRS terbabit dalam operasi yang diketuai PBK II Abdul Hakim Supian. -TVS