GEORGE TOWN, 16 Mei: Polis berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah melalui kiriman kurier ke seluruh negara selepas memberkas seorang lelaki bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM2.1 juta pada serbuan di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Butterworth dekat sini semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata suspek berusia 41 tahun yang bergerak secara solo itu diberkas menerusi operasi selama 11 jam bermula pukul 9 pagi oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pulau Pinang.
Katanya, pada operasi itu polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah jenis Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) yang dijalankan suspek secara bersendirian di pangsapuri yang disewanya itu.
“Antara yang dirampas adalah 412 paket plastik berwarna hitam disyaki dadah MDMA seberat 7.4 kilogram (kg) di dalam empat kotak yang tertera nama-nama syarikat penghantar barang dan tiga bungkus plastik lutsinar berisi MDMA seberat 3.9 kg di dalam kotak.
“Turut ditemui adalah 50 keping aluminium foil berisi 500 biji pil Erimin 5, 50 biji pil ekstasi dan 1.4 kg serbuk dadah MDMA dalam bekas plastik tanpa penutup selain peralatan membungkus dan memproses dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Tambah beliau, suspek didapati menjalankan kegiatan itu dengan modus operandi memproses dan membungkus sendiri dadah jenis MDMA sebelum dipos kepada pelanggannya menggunakan beberapa syarikat kurier.
“Dadah itu dibungkus dengan baik dan kemas sebelum diisytiharkan sebagai barang-barang berharga.
“Suspek kemudian mengirimkan bungkusan itu kepada pelanggannya ke seluruh negara,” katanya lagi.
Katanya, polis turut menyita sebuah kereta jenis Mercedes Benz, tiga utas rantai dan empat bentuk cincin emas serta wang tunai RM1,050 yang kesemuanya bernilai RM170,882 bagi siasatan lanjut.
Hamzah berkata, siasatan turut mendapati suspek yang positif dadah jenis syabu, amphetamine dan ketamin itu bergiat aktif dalam kegiatan tersebut secara bersendirian sejak hujung tahun lalu.
Suspek direman selama seminggu bermula hari ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS