KUCHING, 16 Mei: Lima hala tuju utama menjadi fokus kerajaan dalam membina semula ekosistem pendidikan negara demi masa depan lebih cemerlang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan RM64.1 bilion dalam Belanjawan 2025 harus sampai tepat kepada penerima dan memberi kesan sebenar kepada guru serta pelajar yang bukan sekadar cantik di atas kertas tetapi benar-benar berkesan.
“Kedua, keperluan merombak sistem tugasan guru dengan menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi untuk mengurangkan beban kerja rutin agar guru dapat memanfaatkan masa bersama pelajar.
“Tugas guru mesti dikembalikan kepada matlamat asal,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Selain itu, kebajikan guru dari semua lapisan termasuk guru KAFA, tahfiz, guru berstatus orang kelainan upaya (OKU) dan guru pendidikan khas harus diberi perhatian serius kerana mereka sering terpinggir daripada pengiktirafan sewajarnya.
Menurut Ahmad Zahid, hala tuju keempat merupakan transformasi digital yang perlu dipercepatkan secara adil supaya setiap guru mampu mengintegrasi teknologi dalam pengajaran mereka dan membentuk murid mahir dan beretika dalam penggunaan dunia digital.
Bagi hala tuju terakhir beliau berkata, sistem pengiktirafan yang bermakna perlu diwujudkan bagi menghargai jasa guru, terutama mereka yang bertugas di pedalaman, guru pendidikan khas dan guru yang inovatif dalam modul pembelajaran.
Tambahnya, guru yang mengajar di sekolah yang terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak serta di kawasan orang asli wajar diberikan insentif baharu.
“Saya mahu lebih ramai Cikgu Sydney Engelbert dari Keningau yang mengharumkan nama Malaysia dengan Anugerah Guru Dedikasi Cambridge 2024. Saya mahu lebih ramai Cikgu Nazmi, finalis Hadiah Guru Global.
“Saya juga mahu lebih ramai Cikgu Nurhayatul, penerima Anugerah Pendidikan Asia dan Cikgu Siti Zaitun Khazali yang mengajar anak istimewa membaca al-Quran, oleh itu, biarlah perjuangan mereka tidak sia-sia, biarlah mereka tidak kekal sunyi di tepi sistem,” ujarnya. – TVS