NILAI, 16 Mei: Helah sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan perkhidmatan penghantaran barangan kelengkapan rumah bagi menyeludup bahan terlarang berjaya dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapha berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas JKDM menyita 90 kotak pelbagai saiz di sebuah gudang milik syarikat penghantaran di Batu Caves, Selangor pada 10 April lalu.
“Hasil pemeriksaan ke atas empat kotak pembesar suara yang telah diubah suai menemui sebanyak 344 ketulan mampat serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 122.85 kilogram (kg), dengan anggaran nilai pasaran RM11.5 juta.
“Namun, pemeriksaan terhadap baki 86 kotak yang mengandungi barangan kelengkapan rumah tidak menemui sebarang dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat JKDM Kampung Jijan di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, sindiket menggunakan perkhidmatan penghantaran kontena ke Pelabuhan Klang sebagai modus operandi (MO) untuk mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyeludup dadah bersama barangan kelengkapan rumah.
Selain itu, katanya, pada 13 Mac lalu, pihaknya turut mematahkan cubaan menyeludup dadah seberat 5,105 gram yang disorok dalam kasut keselamatan di sebuah gudang syarikat logistik di KLIA Kargo, Sepang.
“Pemeriksaan oleh anggota Kastam bersama Unit Anjing Pengesan (K9) terhadap tiga kotak barangan dagangan menemui lima bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Dadah itu, yang dianggarkan bernilai RM163,360, diikrarkan sebagai kasut keselamatan dan dipercayai untuk dieksport ke luar negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Raizam memaklumkan dua suspek telah dituduh di mahkamah selepas ditahan dalam tiga serbuan berasingan pada 3, 7 dan 10 April, membabitkan rampasan dadah bernilai lebih RM1 juta.
“Serbuan pertama di sebuah kondominium di Salak Selatan pada 3 April menemui dadah jenis 3,4-methylenedioxy-N-methamphetamine (MDMA) seberat 5,000 gram bernilai RM835,000.
“Susulan itu, serbuan kedua dilakukan pada 7 April di sebuah kondominium di Sentul, Kuala Lumpur, menemukan dadah disyaki ketamin seberat 6,176 gram dan ganja seberat 763 gram, dengan nilai keseluruhan RM311,165.50,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam serbuan pada 10 April di sebuah premis syarikat kurier di Subang Jaya, Selangor, pihaknya menemui serbuk kristal jernih disyaki methamphetamine seberat 5,106 gram bernilai RM163,392.
Jelasnya, modus operandi sindiket adalah menyorokkan dadah dalam alas kaki yang telah diubah suai untuk dieksport melalui perkhidmatan kurier udara.
“Secara keseluruhan, JKDM berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah seberat 145 kilogram bernilai RM13 juta dalam tempoh Mac hingga April,” katanya. – TVS