MIRI, 12 SEPT: Gara-gara mencuri tiga tin susu tepung bayi dari sebuah farmasi, seorang lelaki berusia 24 tahun telah ditahan pihak polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari, perbuatan lelaki tersebut telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan yang menunjukkannya melarikan barangan tersebut dalam kejadian 2 petang Sabtu itu.
“Suspek kemudiannya terus meluru ke arah sebuah Perodua Viva di Miri Times Square Parkcity putih sebaik melarikan susu tepung bayi yang berjumlah RM294.
“Tangkapan dibuat pada hari yang sama selepas menerima aduan dari pekerja premis tersebut,” katanya.
Jelasnya tangkapan dilakukan oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri di sebuah rumah yang terletak di Jalan Maigold Taman Desa Senadin pada jam 8 malam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.