PUTRAJAYA, 15 Mei: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) akan melaksanakan siasatan terhadap syarikat pemilik lori batu kerikil yang terlibat dalam nahas jalan raya melibatkan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan terhadap syarikat itu adalah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Jelas beliau, meskipun perundangan sedia ada mencukupi bagi menyiasat isu berkenaan, pelaksanaannya perlu dikuatkuasakan.
“Kita serahkan kepada pihak Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PUSPAKOM untuk melalukan siasatan,” katanya.
Beliau ditemui media selepas Majlis Perkhidmatan Cemerlang & Apresiasi 2024 Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pemandu lori berkenaan telah dikenakan perintah reman daripada mahkamah selama empat hari.
Siasatan terhadap pemandu terlibat dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JPST) dan JPJ.
Kemalangan yang berlaku di simpang tiga Jalan Chikus – Sungai Lampam di Teluk Intan, Perak itu melibatkan lori batu kerikil yang merempuh kenderaan FRU Unit 5 yang membawa 18 anggota FRU akibat kegagalan fungsi stereng. – TVS