BINTULU, 15 Mei: Sebanyak 6,724 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh Sarawak dari Januari hingga April 2025, mengorbankan 120 nyawa, sekali gus menjadikan isu keselamatan jalan raya mendapat perhatin kerajaan menjelang sambutan Gawai Dayak 2025.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata kecuaian pengguna jalan raya dikenal pasti sebagai faktor utama penyumbang kemalangan, termasuk kes langgar belakang, terbabas akibat pemanduan laju, serta keluar simpang tanpa berhati-hati.
“Menerusi kajian yang dijalankan, kebanyakan insiden ini lazimnya berlaku disebabkan kecuaian penunggang motosikal, pemandu kereta mahupun pengguna jalan raya. Faktor manusia merupakan punca utama kemalangan.
“Oleh sebab itu, kita perlu memperingatkan pengguna jalan raya dan pada masa sama menyemai budaya selamat kerana ia amat penting untuk kesejahteraan semua,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Sarawak Sempena Gawai Dayak 2025 di stesen PETRONAS, Jalan Sibiyu, di sini, hari ini.
Kim Shin berkata, usaha meningkatkan kesedaran keselamatan tidak harus digalas pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pengguna jalan raya.
“Saya selalu menegaskan, kita tidak seharusnya melarikan diri apabila melihat polis atau JPJ di hadapan.
Keselamatan adalah tanggungjawab bersama, dan budaya selamat perlu diamalkan tanpa mengira kehadiran pihak berkuasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar orang ramai tidak memandang ringan aspek keselamatan jalan raya terutamanya menjelang musim perayaan, yang lazimnya menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), daripada jumlah keseluruhan, 6,502 kes melibatkan kemalangan rosak – iaitu insiden yang hanya menyebabkan kerosakan kenderaan tanpa kecederaan.
Antara kategori tertinggi dicatatkan adalah langgar belakang sebanyak 2,236 kes, diikuti terbabas kerana laju (1,481 kes) dan langgar sebelah semasa keluar simpang (1,421 kes).