KUCHING, 15 Mei: Rang Undang-Undang (RUU) pekerja GIG yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Jun ini akan memberikan pelbagai manfaat terutama dalam menjaga kebajikan pekerja sektor terbabit.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Dato Sri Abdul Rahman Mohamad berkata kementeriannya melalui program jelajah dan sesi libat urus telah mengenal pasti dan mendapatkan maklum balas lebih 3,000 pekerja GIG mengenai isu kebajikan golongan itu.
Katanya lagi, kerajaan memandang serius aspek kebajikan pekerja kumpulan ini, justeru RUU yang bakal dibentangkan nanti bakal memberikan pelbagai manafaat dan menjaga kebajikan golongan yang menceburi sektor terbabit.
“Mereka ini merupakan pekerja berisiko tinggi, maksudnya mereka mungkin terlibat dalam kemalangan
“Jika Rang Undang-Undang ini dapat dilaksanakan, sudah pastilah kita (kerajaan) dapat menjaga mereka melalui caruman Perkeso yang mempunyai pelbagai pencen, antaranya Pencen Ilat (dan) Pencen Penakat
“Jika ditakdirkan umurnya tidak panjang, kalau sekiranya dia (pekerja gig) ada tanggungan, sudah pasti kita dapat memberikan sedikit mengikut takrif yang dicarum olehnya,” katanya lagi.
Abdul Rahman berkata demikian selepas ditemui pemberita pada akhir Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) tahun 2025 peringkat zon Sarawak yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka pada Khamis.
Tambah beliau lagi pekerja GIG ini dikategorikan sebagai golongan yang berkerja sendiri dengan memberikan contoh kumpulan yang menjadi pemandu e-hailing motorsikal dan kereta, penghantar barangan dan makanan.
“Industri ini merujuk kepada individu yang terbabit dalam ekosistem pekerjaan yang fleksible dan berdasarkan permintaan,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Anita Ahmad dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) Dato Dr Adnan Mat-TVS