KUCHING, 15 Mei: Buku bertajuk Sarawak Iconic Businesses dilancarkan pada Rabu yang mencerita mengenai 30 jenama tempatan dari permulaan hingga menjadi peneraju pasaran.
Ahli Dewan Negara Dato Ahmad Ibrahim yang melancarkan buku tersebut berbangga di atas sumbangan usahawan tempatan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial Sarawak.
Menurutnya, usahawan Sarawak sangat tekun dalam menghadapi kehidupan terutama dalam perniagaan.
“Sesetengah daripada anda mungkin pernah menjadi pelanggan saya. Kita pernah berbincang mengenai pembiayaan sambil minum kopi-o, merancang pengembangan syarikat anda dan mengharungi cabaran awal bersama. Hari ini, melihat kejayaan anda semua amat membanggakan.
“Perkataan ikonik dalam buku tersebut membawa makna lebih mendalam melambangkan kesan, warisan dan makna yang melampaui kejayaan perniagaan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Malam Pengiktirafan Perniagaan Ikonik Sarawak dan Pelancaran Rasmi Buku di Kuching pada Rabu.
Menurutnya, kerajaan berperanan mewujudkan persekitaran kondusif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan warisan keluarga terus berkembang.
“Masa depan ekonomi Sarawak mesti terus dimiliki dan diterajui oleh rakyat Sarawak sendiri,” ujarnya.
Ahmad berkata, buku yang menghimpunkan beberapa jenama terkenal seperti Sundrop, Lee Fah Mee, Lee Onn dan Kaisu itu bukan sekadar penghargaan tetapi panduan serta inspirasi generasi masa depan.-TVS