SIBU, 12 SEPT: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam parit berhampiran simpang Tamin di Batu 36 Jalan Sibu-Selangau.
Insiden kira-kira jam 2:20 pagi itu mengakibatkan mangsa berusia 29 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Selangau, Mohd Shukri Abdul Rahim berkata mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Selangau menghala ke Sibu sebelum kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan kendiri.
Bagaimanapun katanya, punca sebenar kejadian itu masih dalam siasatan.
“Mangsa dipercayai terlibat dalam kemalangan kendiri di mana kereta dipandunya telah terbabas sebelum terjunam ke dalam parit.
“Jalan berhampiran simpang Tamin itu (lokasi kejadian) sebenarnya belum dibuka,” jelasnya ketika dihubungi.
Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang ketika itu masih berada di bahagian tempat duduk pemandu.
Anggota paramedik mengesahkan kematian mangsa dan mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, Shukri menasihati pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan.
“Saya ingin menasihati semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati terutamanya pada waktu malam kerana jalan tersebut masih dalam pembinaan dan tiada lampu jalan,” ujarnya.