KUCHING, 14 Mei: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) terus memperkukuh kedudukannya sebagai “Pintu Masuk ke Borneo” menerusi penyertaan aktif dalam dua program strategik di Sabah minggu lalu, Sarawak Gateway to Borneo Business Networking Session pada 7 Mei dan MATTA Fair Sabah 2025 dari 9 hingga 11 Mei lalu.
STB dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua inisiatif ini hadir seiring peningkatan 16 peratus ketibaan pelancong domestik ke Sarawak dalam suku pertama tahun ini, iaitu seramai 528,301 orang berbanding 454,644 dalam tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan ini menyerlahkan tarikan Sarawak yang semakin kukuh dalam pasaran domestik, khususnya dalam kalangan pelancong Malaysia Timur seperti rakyat Sabah,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Salleh Askor dalam kenyataan itu berkata kerjasama antara Sabah dan Sarawak bukan sekadar saling melengkapi, malah menjadi pemangkin kepada pakej pelancongan pelbagai destinasi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Sabah bukan hanya jiran, tetapi rakan semula jadi dalam usaha memperkenalkan Borneo sebagai satu destinasi bersatu yang kaya dengan budaya, alam semula jadi dan pengalaman bermakna,” katanya.
Sesi jaringan perniagaan yang berlangsung di Le Meridien Kota Kinabalu menyaksikan 15 penggiat pelancongan Sarawak bertemu secara langsung dengan 50 pembeli dari Sabah.
Acara ini memupuk penglibatan B2B secara langsung sambil menonjolkan pengalaman utama Sarawak di bawah lima teras pelancongannya — Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Festival.
Antara produk utama yang diketengahkan termasuk Rainforest World Music Festival (RWMF) 2025, promosi pelancongan Sarawak Borneo Pass bersama Kumpulan Malaysia Airlines, serta program insentif yang disesuaikan untuk kumpulan dan syarikat korporat.
Pavilion Sarawak menarik perhatian pengunjung dengan lima pempamer utama termasuk Borsamulu Park Management (Taman Negara Mulu), Cove 55, Tune Hotels Waterfront Kuching, Hotel Grand Continental Kuching dan Amazing Borneo.
STB percaya bahawa hubungan lebih erat antara Sabah dan Sarawak mampu membuka laluan kepada ekosistem pelancongan yang saling terhubung, terutama dengan kemudahan penerbangan terus dari Sabah ke Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu, kata kenyataan itu lagi.
Sarawak kini giat membuat persediaan untuk RWMF 2025 yang bakal berlangsung Jun 2025, sebagai sebahagian usaha berterusan memposisikan negeri itu sebagai destinasi pilihan pelancongan lestari di rantau ini. – TVS