PUTRAJAYA, 14 Mei: Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan bagi menyiasat nahas maut melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan semalam diberi tempoh sebulan untuk menyediakan laporan penuh kejadian.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dengan memberitahu satu keputusan akan diambil selepas ia dibentangkan kelak.
“Satu jawatankuasa khas ditubuhkan unutk meneliti aspek yang bukan bersifat jenayah melibatkan aspek kenderaan. Ia terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan manakala siasatan oleh polis berjalan seperti biasa.
“Ia perlu disiapkan dalam tempoh sebulan, dibentang dan kemudiannya keputusan akan dibuat,” katanya pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Pagi semalam, sembilan anggota FRU maut selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah lori muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng dalam kejadian kira – kira pukul 8.50 pagi di Jalan Chikus- Sungai Lampam semasa pasukan konvoi itu dalam perjalanan pulang selepas bertugas.
Berkenaan bantuan kepada keluarga mangsa, Fahmi berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah bertemu dengan beberapa ahli keluarga untuk menyampaikan bantuan kecemasan hari ini.
“Kesemua anggota mempunyai insurans berkelompok, jadi ada dalam kalangan mereka akan menerimanya dalam masa terdekat.
“Petang ini, Menteri Dalam Negeri melawat lima ahli keluarga mangsa di Perak dan bantuan kecemasan berjumlah RM2,000 akan disalurkan,” katanya. -TVS.