Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Tiga faktor dikenal pasti punca tiada sijil digital dalam MySejahtera

KOTA BHARU : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan pembersihan data bagi menyelesaikan masalah berhubung penerima lengkap vaksin COVID-19 yang tidak memperoleh sijil digital vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata selain itu pihaknya juga telah mengenal pasti tiga faktor yang menyebabkan masalah itu berlaku.

“Faktor pertama yang menyumbang kepada perkara itu ialah apabila petugas menyuntik ratusan ribu penerima vaksin setiap hari, ada berlaku nombor siri vaksin tidak dikemas kini di akhir proses oleh mereka di stesen vaksinasi yang akhir.

“Selain itu ada yang masih tidak menerima sijil vaksinasi kerana apabila mereka mengisi pendaftaran dalam MySejahtera, terdapat kesilapan maklumat seperti ejaan nama yang berbeza atau nombor kad pengenalan yang tidak lengkap berbanding data di Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya pada  sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, di sini pada hari ini.

Beliau berkata faktor ketiga adalah kerana ada data yang diterima daripada program vaksinasi di luar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Contohnya, yang dikendalikan oleh kerajaan negeri, pihak swasta, pejabat kedutaan dan penerima vaksin dari luar negara. Data-data itu tidak melalui saluran sistem PICK. Oleh itu data-data berkenaan perlu disahkan dan dikemas kini terlebih dahulu, menyebabkan sijil digital mereka tidak dapat dikeluarkan serta-merta,” katanya.

Pada Khamis lepas, media melaporkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengarahkan pasukan MySejahtera untuk menyelesaikan isu sijil digital di aplikasi MySejahtera dalam tempoh seminggu bagi individu yang lengkap menerima vaksin, susulan kebimbangan orang ramai yang masih belum mendapat sijil digital vaksinasi mereka meskipun sudah melengkapkan pengambilan dos vaksin COVID-19.

Sementara itu merujuk kepada perkembangan bekalan vaksin COVID-19 di Kelantan, Dr Adham berkata negeri ini akan menerima bekalan vaksin sebanyak 1,248,900 juta dos sepanjang bulan September ini.

“Selain itu 18,000 dos vaksin CanSino akan dibekalkan kepada kawasan pedalaman terutamanya di Gua Musang dan Kuala Krai bagi memenuhi permintaan masyarakat di luar bandar. Mengikut data yang diperoleh, ia melibatkan 7,000 penduduk Orang Asli dan dos selebihnya akan diberikan kepada penduduk di pedalaman,” katanya.

Dr Adham berkata menerusi bekalan vaksin itu lebih banyak lagi program vaksinasi secara jumpa terus atau program capaian (outreach) akan dilakukan untuk menjejaki individu yang sebelum ini mungkin tercicir daripada pendaftaran sistem MySejahtera, secara bersemuka, dalam talian dan sebagainya. – BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan