KUCHING, 13 Mei: Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak (SHER) disifatkan sebagai panduan strategik yang akan membimbing wilayah ini memanfaatkan peluang dan cabaran dalam merealisasikan aspirasi kuasa hidrogen bersih serantau menjelang 2035.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan perkara itu semasa Forum Ekonomi Hidrogen 2025 (H2EF 2025) di sini pada Selasa.
“Sarawak sedang memainkan peranan sebagai penyumbang ke arah sifar karbon dengan memperkenalakan banyak teknologi baharu dan melaksanakan dasar seperti yang disenaraika dalam pelan hala tuju hidrogen Sarawak.
“Saya rasa kami adalah yang pertama yang mempunyai pelan hala tuju yang jelas ke ara ekonomi hidrogen. Ianya tidak mudah kerana terdapat ramai yang di luar sana meragui dan tidak yang dengan isu hidrogen ini,” katanya.
Katanya, Sarawak akan terus meneroka teknologi baharu ke arah merealisasikan pelan hala tuju ini menerusi kolaborasi dengan pelbagai pihak.
“Saya percaya dengan teknologi yang ada, seperti yang dimaklumkan oleh sebuah syarikat global, mereka mempunyai sebuah loji di Poland yang boleh mengurangkan kos elektrolisis. Ini bermakna dari segi kos pengeluaran hidrogen akan menjadi lebih rendah dan ini akan menjadi bahan api masa depan yang mampan. Sarawak berada dalam landasan yang tepat.
“Saya turut berkongsi perkara ini dengan London School of Economics & Political Sciences (LSE) semasa pertemuan dengan mereka dan saya percaya penglibatan bersama ini dalam meneroka teknologi dan kemampanan sebagai usaha menurunkan suhu di seluruh dunia,” katanya.
Tambah Abang Johari, komitmen Sarawak dalam membangunkan tenaga mampan dan ekonomi hidrogen ini dibuktikan apabila Sarawak meluluskan Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan) yang memperuntukkan khusus untuk mengawal hidrogen.
“Pindaan ini antara lain termasuk perkembangan generasi, pengedaran dan penggunaan hidrogen sebagai peralihan tenaga bersih, mewujudkan rangka kerja undang-undang untuk melantik pengawal selia industri hidrogen, memperkenalkan penalti dan kesalahan berkaitan aktiviti hidrogen dan memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengenakan kadar, levi atau caj yang berkaitan operasi hidrogen,” tambahnya.
Abang Johari menjelaskan ordinan ini telah berkuat kuasa pada 1 Mac 2025 dan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar telah diamanahkan mengawasi perlaksanaannya. -TVS