KUCHING, 13 Mei: Kementerian Kerja Raya, melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), menegaskan komitmennya untuk mempercepat penerimaan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagai teras utama dalam transformasi sektor pembinaan negara.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, langkah ini selari dengan aspirasi Dasar Pembinaan Negara 2030 dan Pelan Strategik Pembinaan 4.0, yang merentas pelbagai sektor bagi mewujudkan industri pembinaan yang lebih efisien dan mampan.
“Kementerian Kerja Raya, melalui CIDB Malaysia, komited untuk mentransformasi sektor pembinaan negara menjadi sebuah industri yang berdaya tahan, berorientasikan digital, dan selaras dengan prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus).
Sebagai Menteri Kerja Raya, saya amat komited untuk memastikan bahawa Sarawak dan Sabah menjadi sebahagian penting dalam strategi pembangunan sektor pembinaan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Puan Zainora Zainal, yang memainkan peranan penting dalam memperluas capaian CIDB ke Sarawak dan Sabah melalui pelbagai program latihan serta sokongan peraturan yang menyeluruh. – TVS