KUALA LUMPUR, 13 Mei: Sebanyak 12 negara menyertai Dialog Koperasi ASEAN (ACD) 2025 yang kali pertama diadakan sempena Sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa dan Kepengerusian ASEAN 2025.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, penyertaan bukan sahaja dari ahli negara – negara ASEAN malah meliputi China dan Timur Tengah.
Kata beliau, kerjasama berkenaan boleh memangkin pembangunan sektor koperasi sebagai salah satu daripada pemacu ekonomi utama negara.
“Setakat Disember 2024, perolehan gerakan koperasi Malaysia merekodkan sebanyak RM68.2 bilion dengan aset bernilai RM173.3 bilion.
“Selain daripada data ini, Pertubuhuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah mengiktirafkan sektor koperasi sebagai komponen jangka panjang yang strategik untuk pembangunan sosial dan ekonomi yang mampan.
“Jadi saya berharap, pemimpin dan kerajaan ahli ASEAN menyedari bahawa koperasi perlu diperkasa dan menjadi tumpuan utama dalam membangunkan ekonomi ASEAN yang lebih berdaya tahan dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran ACD di sini, hari ini.
Sementara itu tambah Ewon, sebanyak 16,824 koperasi telah didaftarkan di Malaysia setakat Disember tahun lepas dengan jumlah ahli seramai 7.2 juta orang.
Kata beliau, kejayaan Bank Rakyat sebagai salah satu contoh kejayaan terbesar sektor koperasi di Malaysia.
“Menurut World Cooperative Monitor (WCM) edisi 2023 yang dikeluarkan oleh International Cooperative Alliance (ICA), Bank Rakyat berada di kedudukan ke-244 antara koperasi terbaik di dunia.
“Pengiktirafan ini menunjukkan prestasi baik Bank Rakyat dalam menjana ekonomi negara yang kini menjadi bank koperasi Islamiah terbesar di Malaysia,” katanya. -TVS.