KUALA LUMPUR, 13 Mei: Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 akan mengambil kira keadaan ekonomi semasa selain beberapa faktor lain, kata Datuk Hanifah Hajar Taib.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Ekonomi berkata, perbincangan menyeluruh perlu dilakukan sebelum keputusan dimuktamadkan.
“Kita sebagai kerajaan bertanggungjawab melihat kepada keadaan ekonomi. Jika pelaksanaannya sukar buat masa kini, kita tidak akan melaksanakannya.
“Apa yang akan dicadangkan akan dibentangkan terlebih dahulu kepada Kabinet, kemudiannya maklum balas setiap kementerian akan diteliti bagi menentukan sama ada cadangan tersebut sesuai untuk dilaksanakan atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Pra-pelancaran WE2025: Future in Motion di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa rasionalisasi subsidi RON95 yang akan dilaksanakan kelak tidak akan memberi kesan kepada 85 hingga 90 peratus rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Sementara itu Hanifah Hajar memaklumkan, Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) berperanan sebagai alat penilaian dalaman bagi memperkasakan dasar dan inisiatif kerajaan secara lebih menyeluruh dan bersasar.
Sistem berkenaan juga kata beliau membantu kementerian dan pelbagai agensi kerajaan berkaitan dalam meneliti keperluan rakyat termasuk dari aspek penyampaian subsidi serta pelaksanaan inisiatif yang lebih berkesan.
“Maklumat tersebut bertujuan untuk memperkasakan pelaksanaan bantuan subsidi serta menilai kepentingan sesuatu inisiatif yang dirancang.
“Selain beberapa kementerian yang memohon kerjasama secara khusus dalam bidang masing-masing, terdapat juga permohonan daripada kerajaan negeri untuk mendapatkan bantuan penilaian melalui PADU,” katanya.- TVS.