SIBU, 13 Mei: Ulang tahun ke-50 Kumpulan Rimbunan Hijau disambut meriah di Dataran Tuanku Bujang, menandakan lima dekad sumbangan besar syarikat itu terhadap pembangunan ekonomi Sibu, Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau menyanjung tinggi peranan Rimbunan Hijau dalam membangunkan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan selama lima dekad.
“Dari permulaan yang sederhana di Sibu pada tahun 1975 oleh mendiang Tan Sri Tiong Hiew King, Rimbunan Hijau telah berkembang menjadi konglomerat bertaraf antarabangsa dengan kehadiran yang kukuh dalam pelbagai industri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bagi merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-50 Kumpulan Rimbunan Hijau pada malam Isnin.
Beliau turut mengiktiraf kepimpinan Thai King yang terus memacu syarikat ini ke arah kecemerlangan, serta komitmen syarikat dalam melibatkan tenaga kerja tempatan dan memajukan bakat anak Sarawak.
“Sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi Sarawak dan negara sangat signifikan dan wajar dijadikan contoh,” tambahnya.
Kejayaan Rimbunan Hijau bukan sekadar pada saiz empayar perniagaan mereka, tetapi pada kesan positif yang mereka bawa kepada ekonomi, sosial dan pembangunan masyarakat.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada kakitangan syarikat yang amat dedikasi dalam menghadapi pelbagai cabaran bagi memastikan kejayaan, serta berharap syarikat ini akan terus memberikan sumbangan kepada pembangunan negara serta serantau.
Majlis sambutan bertemakan “A Night of Gratitude and Celebration” itu juga memperlihatkan dedikasi Rimbunan Hijau dalam memyumbang kepada masyarakat melalui penganjuran sambutan terbuka yang menghiburkan.
Sambutan gilang-gemilang itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran orang ramai yang teruja menyaksikan persembahan daripada artis terkemuka tanah air, Shila Amzah serta artis tempatan, pasukan tarian singa dan naga serta persembahan istimewa daripada warga kerja RH Group.
Kemuncak malam tersebut adalah pertunjukan dron bercahaya melibatkan 330 unit yang pertama seumpamanya di Sibu dan pertunjukan bunga api muzikal terbesar selama 13 minit, yang dihasilkan dengan bantuan tiga bakat muda tempatan dari Sibu bakal tercatat dalam Malaysia Book of Records.
Sementara itu, Fadilah berkata pertunjukan dron yang mengagumkan itu bukan sahaja menandakan pencapaian korporat tetapi juga mempamerkan kebanggaan Sibu dalam melahirkan bakat bertaraf dunia dan inovasi, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara RH Group dan masyarakat serta aspirasi global.
Ulang tahun ke-50 ini menjadi simbol kekuatan, visi dan kesungguhan Rimbunan Hijau dalam membina masa depan yang lebih gemilang untuk semua. – TVS