KOTA SAMARAHAN, 12 Mei: Setiap umat Islam perlu menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup kerana isi kandungannya mempunyai penyelesaian kepada masalah.
Johan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Samarahan, Nadhirah Khaliqah berkata, al-Quran hendaklah diutamakan seiring dengan pendidikan formal.
“Pendidikan formal memang penting namun al-Quran juga perkara penting yang perlu diberi penekanan khusus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Samarahan di Masjid Darul Istiqaman, Kampung Niup, pada Ahad.
Sementara itu, bagi kategori qari dimenangi Ismawi Ibrahim,47, muncul selepas menewaskan lawannya Muhd Hafiez Shafie dengan perbezaan 0.5 mata.
Kakitangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak itu turut menitipkan pesanan buat generasi muda supaya mendalami al-Quran selain menceburkan diri dalam mana-mana Majlis Tilawah Al-Quran.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Idris Buang hadir menyempurnakan upacara penyampaian hadiah-TVS