BINTULU, 11 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda di kedudukan tiga batu nautika barat laut muara Sungai Kemena, Bintulu pada Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 3.0 melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda berwarna putih yang sedang dalam pelayaran menuju laut lepas.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan oleh enam orang kru termasuk nakhoda warganegara Indonesia, seorang kru warganegara Myanmar dan seorang kru warga tempatan berumur 23 tahun ke 51 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22(2A), Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu tidak memaklumkan secara bertulis kepada
Pendaftar Kapal berhubung pertukaran nama nakhoda di dalam sijil pendaftaran kapal yang memperuntukan hukuman kompaun sebanyak RM 2,500.
Katanya, bot berserta kru ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia mengingatkan semua komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi segala peraturan atau undang-undang serta mengamalkan prosedur keselamatan ke laut bagi mengelak serta mengurangkan insiden tidak diingini.-TVS