BINTULU, 11 Mei: Seramai 1,362 penerima bantuan kebajikan di Bahagian Bintulu menerima sumbangan khas sempena Program Sejambak Kasih Hari Gawai 2025 anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Sarawak, Dato Majang Renggi berkata, program tersebut bukan sekadar penyampaian sumbangan tetapi simbol kasih sayang dan keprihatinan kerajaan terhadap golongan memerlukan menjelang sambutan Hari Gawai.
Menurutnya, kerajaan komited dalam memastikan tiada rakyat terpinggir daripada mendapat bantuan kebajikan bersesuaian.
“Dalam kita sibuk menyediakan keperluan Hari Gawai yang bakal tiba, kita juga tidak melupakan masyarakat kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan.
“Majlis ini diadakan setiap kali menjelang musim perayaan untuk berkongsi rasa gembira dan syukur atas rezeki yang kita terima,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Sejambak Kasih Hari Gawai 2025 melibatkan penerima dari Daerah Tatau, Sebauh dan Bintulu pada Ahad.
Menurutnya, untuk tahun ini, setiap penerima menerima wang tunai RM100 dan hamper bernilai RM80 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM144,200.
Bermula Januari sehingga April 2025, seramai 2,979 penerima bantuan bulanan kebajikan direkodkan di Bintulu dengan perbelanjaan keseluruhan mencecah RM6.4 juta. – TVS