KUALA LUMPUR, 11 Mei: Pelatih yang terpilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 berharap program itu akan menjadi platform supaya mereka dapat membina sahsiah dan jati diri sebagai rakyat yang bertanggungjawab pada negara.
Tinjauan TVS semasa sesi pendaftaran program itu di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini mendapati kebanyakan pelatih telah bersedia dan teruja untuk memulakan perjalanan mereka.
R. Priyashni berkata, dia sudah bersedia sejak awal selepas mengetahui terpilih sebagai salah seorang peserta.
“Saya sebenarnya berasa sangat teruja kerana tak jangka akan dapat (menyertai) PLKN di sini.
“Sewaktu dapat (keputusan itu), saya berasa amat gembira dan syukur,” katanya kepada TVS hari ini.
Tambahnya, beliau berharap latihan ini dapat membantu membentuk dirinya menjadi individu yang lebih berani dan berkeyakinan.
Sementara itu, Koh Sin Tien mengakui pada awalnya tidak begitu teruja untuk menyertai PLKN 3.0 namun tanggapannya berubah setelah selesai pendaftaran.
“Sebelum ini, saya rasa tak nak datang. Lama-kelamaan ssemuanya baik sahaja,” katanya.
Sin Tien menambah suasana di kem PLKN kelihatan selesa berdasarkan pemerhatian awalnya.
“Oleh itu saya harap berpeluang untuk menimba banyak pengetahuan dan ilmu baharu di sini,” katanya.
Zahirah Irwan pula berkongsi keterujaannya selepas terpilih menyertai program ini pada malam sebelum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan.
“Pada mulanya saya rasa berdebar dan takut namun perasaan teruja itu semakin meningkat ketika sedang mempersiapkan barang keperluan,” katanya.
Program PLKN 3.0 Siri 2/2025 yang bermula pada 11 Mei hingga 24 Jun ini menekankan keseimbangan modul kenegaraan dan asas ketenteraan, serta memberi jaminan bahawa tiada insiden buli akan berlaku sepanjang latihan dijalankan.
Seramai 550 pelatih telah mendaftar bagi siri kali ini, termasuk 200 pelatih wanita di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur dan 350 pelatih lelaki di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang. -TVS.