LIMBANG, 10 Mei: Siasatan terhadap kes dua rakyat Sarawak yang berasal dari Limbang berlepas ke London pada Sabtu lepas diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut dari pelbagai sudut mengenai motif dua rakyat Sarawak ke negara itu selepas dua laporan polis dibuat ahli keluarga terbabit.
“Masih dalam siasatan polis dan kita serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dengan lebih lanjut (dua rakyat Sarawak ke London),” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Kerajaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan KEMAS hari ini.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang meminta JKKK agar memantau aktiviti anak-anak buah di kawasan masing-masing terutamanya golongan muda agar tidak terjebak dengan mana-mana sindiket sekali gus menjadi mangsa penipuan.
Golongan muda katanya, perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati bagi mengelak mereka menjadi mangsa penipuan yang banyak berlaku di media sosial.
Pada Sabtu lepas dua rakyat Sarawak, Cathilyenn Santa Liong Siu Zhen, 24, dan Muhamad Izzat Asnawai, 21, masing-masing berasal dari Limbang dipercayai berada di London menaiki penerbangan dari Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke London.
Keberadaan mereka di negara itu disahkan oleh polis berdasarkan tempahan tiket ke negara itu melalui hantaran emel milik Izzat.
Susulan itu keluarga masing-masing melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan anak mereka membuat dua laporan polis dan memohon bantuan pelbagai pihak serta berharap anak mereka pulang ke pangkuan mereka dengan selamat.
Sebelum ini kehilangan Izzat dan rakan perempuannya tular dalam media sosial selepas keluarga mereka memohon bantuan bagi mengesan kehilangan mereka. -TVS.