BINTULU, 10 Mei: Program Ngerandang Jalai Gawai Dayak Bintulu 2025 bukan sahaja mencerminkan perpaduan masyarakat berbilang kaum malah turut memperkukuh potensi Bintulu sebagai destinasi pelancongan budaya unik di Sarawak.
Memetik laporan Suara Sarawak, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, warisan budaya seperti perarakan Ngerandang Jalai wajar diketengahkan ke peringkat nasional dan antarabangsa sebagai produk pelancongan bernilai tinggi.
“Perarakan ini bukan sahaja menyemarakkan semangat Gawai tetapi juga mampu menarik pelancong untuk mengenali keunikan budaya kita.
“Bintulu memiliki semua elemen seperti kepelbagaian kaum, keaslian budaya dan semangat kebersamaan untuk menjadi destinasi pelancongan budaya utama,” katanya semasa merasmikan program berkenaan di Dewan Suarah Bintulu, pada Sabtu.
Lebih 1,000 peserta daripada 17 kontinjen mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi dan jabatan kerajaan sekitar Bintulu menyertai perarakan sejauh tiga kilometer mengelilingi bandar serta lengkap dengan pakaian tradisional dan persembahan kebudayaan dalam suasana penuh harmoni.
Majang yang juga ADUN Samalaju turut menyeru agar program tersebut dimanfaatkan sebagai peluang ekonomi, khususnya kepada pengusaha inap desa, kraftangan, makanan tradisional dan peniaga kecil tempatan.-TVS