KUCHING, 10 Mei: Cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad agar usaha menuntut autonomi Sarawak dibawa ke Parlimen disifatkan sebagai satu cubaan untuk merampas hak yang telah sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom menegaskan bahawa hak-hak autonomi Sarawak telah diperuntukkan secara jelas dan sah melalui pelbagai peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru katanya, tiada keperluan untuk mendapatkan kelulusan baharu melalui Parlimen.
“Saya ingin menyangkal hujah Tun M yang disiarkan dalam media massa dan media sosial bahawa ‘Sarawak’s push for autonomy must go through Parliament’.
“Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen perundangan yang tertinggi di Malaysia. Perlembagaan Persekutuan dengan terang dan jelas memberi autonomi, hak dan kuasa kepada wilayah dan negeri berkenaan dengan persempadanan wilayah dan benua (khusus kepada Sarawak), hak & kuasa berkenaan dengan tanah, gas & mineral, Mahkamah Bumiputera, hasil negeri, hutan dan banyak lagi di bawah Perkara 2(b), 161, 161A, 161B, Jadual ke-9, Jadual ke-10 & provisi-provisi Perlembagaan Persekutuan yang secara tidak langsung memberi autonomi kepada Sarawak khususnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan rasional membawa isu autonomi ke Parlimen sedangkan hak tersebut telah sedia dijamin secara sah oleh Perlembagaan.
“Apakah rasional untuk membawa isu autonomi yang sudah diperuntukkan secara terang ke Parlimen? Jika ini dilakukan, saya melihatnya sebagai satu tindakan yang cuba merampas kembali hak dan kuasa autonomi yang telah diperuntukkan kepada Sarawak,” tegasnya lagi.
Beliau turut menyentuh dasar dan polisi semasa era pentadbiran Tun Dr. Mahathir selama 22 tahun yang menurutnya lebih menjurus kepada pemusatan kuasa (federalisme) di bawah Kerajaan Persekutuan.
Beliau merujuk kepada beberapa tindakan seperti pindaan Perlembagaan pada tahun 1983 dan 1993 yang menyentuh kuasa Raja-Raja Melayu, pengambilan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1984, serta pembangunan besar-besaran di Kuala Lumpur dan Putrajaya berbanding negeri-negeri lain.
“Ini termasuk pembinaan Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur dan bukannya di negeri pengeluar minyak seperti Terengganu. Malah, pembangunan di Wilayah Persekutuan Labuan sendiri masih terpinggir dan dahagakan perhatian,” ujarnya.
Tambah beliau, kenyataan Tun M itu juga boleh mengundang salah tafsir dalam kalangan rakyat bahawa Sarawak belum memiliki kuasa autonomi, sedangkan hak-hak tersebut adalah hasil rundingan yang termaktub sejak penubuhan Malaysia pada tahun 1963.
Beliau menggesa agar semua pihak menghormati kedudukan istimewa Sarawak dalam Persekutuan Malaysia dan tidak memutar belit fakta perundangan demi agenda politik sempit.
Semalam, dalam sebuah portal media, Dr Mahathir Mohammad dilaporkan berkata bahawa tuntutan Sarawak untuk autonomi lebih besar serta kawalan terhadap sumber minyak dan gas mesti dibawa ke Parlimen dan tidak seharusnya diselesaikan melalui rundingan tertutup. – TVS