MIRI,10 Mei: Seramai 33 wanita terdiri daripada warganegara China, Vietnam dan Filipina serta tujuh lelaki warganegara Indonesia ditahan dalam Ops Gegar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak di pusat hiburan di Bandar raya Miri malam tadi.
JIM Sarawak dalam kenyataan menyatakan, operasi penguatkuasaan bersepadu itu dilaksanakan Unit Penguatkuasa Imigresen Cawangan Miri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekitar jam 10 malam.
“Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa memeriksa seramai 50 individu di premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pusat hiburan menawarkan khidmat wanita warga asing kepada pelanggan untuk berhibur,” menurut kenyataan tersebut.
Kesemua individu yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk menyalahgunakan pas lawatan sosial, tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bekenu untuk siasatan lebih lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – TVS