KOTA SAMARAHAN, 10 Mei: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar penghadang besi dalam kejadian di Kilometer 13, Jalan Datuk Mohd Musa awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin berkata, mangsa yang berusia 32 tahun itu berasal dari Kampung Quap.
“Kejdian berlaku sekitar jam 2.55 pagi ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Petronas Samarindah menuju ke Kampung Quap.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan semasa melalui jalan lurus lalu terbabas ke kanan dan melanggar penghadang besi di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 3.03 pagi oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kemalangan.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut manakala motosikal yang rosak teruk dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Samarahan untuk pemeriksaan forensik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS