PENAMPANG, 9 Mei: Tiga lelaki warga asing ditahan manakala beberapa barang dirampas dalam serbuan ke atas sarang sabung ayam haram di Kampung Puun Tunoh, Penampang.
Operasi dikenali sebagai Ops Dadu itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang sekitar jam 5 petang pada 8 Mei lalu selepas maklumat awam diterima mengenai aktiviti perjudian berkenaan.
“Tiga lelaki berumur antara 48 hingga 55 tahun berjaya ditahan manakala yang lain melarikan diri,” kata Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton dalam kenyataan hari ini.
Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah empat ekor ayam hidup, dua ekor ayam mati, dua unit sangkar ayam dan wang tunai berjumlah RM604 yang dipercayai hasil pertaruhan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika disabit kesalahan.
Pihak polis menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkenaan jenayah seumpama ini bagi memastikan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara. – TVS