MIRI, 8 Mei: Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) menjalin kerjasama strategik bersama Universiti Curtin Malaysia dalam usaha meningkatkan taraf hidup komuniti serta memenuhi keperluan industri menerusi pemerkasaan kemahiran, penyelidikan dan inovasi.
Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni berkata, pemilihan Universiti Curtin sebagai rakan strategik adalah berdasarkan reputasinya di peringkat antarabangsa serta kekuatannya dalam bidang penyelidikan, teknologi dan pembangunan modal insan.
“Universiti Curtin Malaysia sudah berada di tahap kemajuan teknologi dan inovasi yang tinggi. Dengan kehadiran universiti ini di Sarawak, ia menjadi kelebihan besar buat kami,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara RECODA dan Universiti Curtin Malaysia, Miri, hari ini.
Menurut beliau, kerjasama ini bertujuan membangunkan program latihan dan pendidikan yang relevan untuk komuniti serta memenuhi permintaan industri terhadap tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.
“Kita mahu pastikan industri tidak perlu lagi mencari bakat dari luar. Apa yang penting ialah kita tahu keperluan sebenar industri dan padankan ia dengan program latihan atau kursus yang sesuai di Curtin,” katanya.
MoU ini turut membuka peluang kepada pelajar Universiti Curtin untuk mendapat pekerjaan khususnya dalam projek-projek pembangunan yang dilaksanakan oleh RECODA terutamanya dalam sektor pembinaan yang memerlukan ramai profesional teknikal.
“Kita percaya penyelidikan sedia ada di Curtin sudah boleh terus diaplikasikan dalam bidang seperti pertanian, agro-industri, perusahaan kecil dan sederhana serta penggunaan teknologi digital,” ujarnya. – TVS