KUALA LUMPUR, 8 Mei: Kerjasama dalam bidang penyelidikan klinikal di sektor kesihatan antara negara-negara ASEAN perlu dipertingkatkan untuk membangunkan ekosistem penyelidikan yang berdaya saing di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerjasama ini amat penting, terutamanya dalam menghadapi cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global pada masa hadapan.
Jelas beliau, kerjasama yang kukuh dalam penyelidikan klinikal adalah penting bagi memastikan ASEAN dapat mempengaruhi dan melaksanakan perubahan reformasi perubatan dengan segera.
“Kerjasama dalam penyelidikan ini dapat mengurangkan kos, serta memperkenalkan penemuan dan jenis perubatan baharu yang sesuai dengan iklim kita,” katanya pada Majlis Perasmian CRM Trial Connect 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengambil beberapa langkah untuk memperkuat kerjasama dan pemahaman intra-ASEAN, terutama dalam sektor perubatan.
“Kita bekerjasama dengan negara-negara maju dalam bidang penyelidikan dan perubatan termasuk Eropah, Jepun, dan Amerika Syarikat, serta pasaran baharu seperti India, Brazil, dan Turki,” ujarnya.
Mengambil contoh Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM), beliau berkata badan tersebut perlu menjalinkan kerjasama bukan sahaja dengan institusi penyelidikan dan universiti tempatan, tetapi juga dengan pusat-pusat penyelidikan utama di rantau ASEAN. – TVS