KUCHING, 8 Mei: Sarawak dan syarikat tenaga global TotalEnergies bersetuju untuk meneroka kerjasama strategik dalam beberapa bidang utama termasuk tenaga hidro, tenaga solar, penghasilan hidrogen mampan serta inisiatif penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Perkara itu dipersetujui semasa pertemuan antara delegasi tinggi kerajaan Sarawak yang diketuai Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, bersama barisan pengurusan kanan TotalEnergies di ibu pejabat syarikat itu di Paris pada Rabu.
“Pertemuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak untuk menjalin kerjasama dengan peneraju industri antarabangsa dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan pelaburan mampan.
“Dalam sesi perbincangan itu, Awang Tengah menekankan potensi besar Sarawak dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, terutamanya melalui sumber hidro yang dianggarkan berkapasiti sehingga 20 gigawatt (GW),” kata kenyataan dikeluarkan pejabat Timbalan Premier Sarawak, hari ini.
Beliau turut berkongsi kejayaan pelaksanaan projek perintis solar terapung 50 megawatt (MW) di Empangan Batang Ai.
Sarawak juga sedang giat meneroka peluang dalam biojisim, bioenergi dan penghasilan hidrogen lestari sebagai sebahagian daripada pelan peralihan tenaganya.
Sementara itu, Ketua Penyelarasan Pembangunan Perniagaan Tenaga Boleh Diperbaharui Darat TotalEnergies, Thibaut Toulemonde memaklumkan bahawa syarikat itu menyasarkan untuk menjadi antara lima pengeluar tenaga boleh diperbaharui terbesar dunia menjelang tahun 2030.
Beliau berkata, TotalEnergies kini memiliki portfolio global berjumlah 97GW merangkumi projek tenaga solar, angin dan penyimpanan tenaga, dengan 62GW daripadanya sedang dalam pembangunan.
Syarikat itu juga terlibat aktif dalam pembangunan teknologi hidrogen dan projek CCUS di peringkat global.
Mengulas lanjut, Awang Tengah menyatakan kesediaan Sarawak untuk melaksanakan pembangunan CCUS, terutamanya di wilayah Bintulu yang telahpun mempunyai kerangka perundangan kukuh bagi menyokong pelaburan dan kerjasama dalam bidang tersebut.
Sebagai susulan segera daripada pertemuan itu, agensi promosi pelaburan negeri, InvestSarawak, telah dilantik untuk menyelaras semua bidang kerjasama yang dikenal pasti.
TotalEnergies juga dijadualkan membuat lawatan kerja ke Sarawak dalam masa terdekat bagi meninjau lebih lanjut potensi pelaburan dan kerjasama yang boleh dimeterai.
Mengakhiri pertemuan itu, Awang Tengah mengalu-alukan kedatangan semula TotalEnergies ke Sarawak dan menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil dan mesra perniagaan bagi menjayakan agenda pertumbuhan hijau dan mampan.