KUCHING, 8 Mei: Projek Rumah Spektra Permata (RSP) Tabuan Melayu II yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut dijangka siap menjelang penghujung tahun 2026.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, ia dilengkapi infrastruktur moden termasuk sistem perparitan, loji rawatan kumbahan, pencahayaan jalan serta jaringan jalan raya tersusun sekali gus berpotensi membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.
“Projek ini dimulakan pada Ogos 2023 yang mana penyiapan satu blok perumahan menjelang hujung tahun 2026 dan penyiapan blok kedua pada penghujung tahun 2027.
“Projek ini bukan sahaja akan memberi impak besar kepada kualiti hidup penduduk malah turut menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi kawasan sekitar,” katanya menerusi kenyataan.
Dr. Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut menjelaskan, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha strategik Kerajaan Sarawak untuk menyediakan perumahan mampu milik berkualiti, selamat, teratur dan selesa kepada rakyat.
“Projek Rumah Spektra Permata Tabuan Melayu II adalah bukti nyata Kerajaan Sarawak serius dalam agenda pemerkasaan rakyat melalui penyediaan kemudahan asas inklusif dan mampan.
“Penduduk DUN Demak Laut khususnya diseru untuk terus memberi sokongan agar manfaat pembangunan ini dapat dinikmati secara menyeluruh dalam jangka masa panjang,” ujarnya.- TVS