RANAU, 7 Mei: Seorang pendaki wanita cedera di bahagian tengkuk selepas terjatuh semasa menuruni Gunung Kinabalu pagi tadi, berhampiran kilometer 6 laluan pendakian.
Susulan panggilan kecemasan pada jam 8.30 pagi daripada Malim Gunung yang mengiringi kumpulan pendaki berkenaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menggerakkan enam anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Gunung (MoSAR) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau.
Pasukan menyelamat yang turut disertai tiga anggota pasukan PARK-SAR telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 500 meter dari laluan utama.
“Pasukan penyelamat tiba di lokasi sekitar jam 9.00 pagi dan mendapati mangsa, seorang wanita tempatan berusia 41 tahun dengan anggaran berat 57 kilogram, mengalami kecederaan di bahagian leher,” kata jurucakap JBPM Sabah dalam kenyataan, hari ini.
Rawatan awal diberikan termasuk pemasangan alat C-Collar bagi menstabilkan tengkuk mangsa sebelum beliau dibawa turun menggunakan pengusung khas jenis Robinson Stretcher ke Timpohon Gate.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.