Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai delegasi dari Sarawak dalam lawatan ke Dassault Systèmes di Perancis pada Selasa.

Sarawak teroka kerjasama dengan syarikat perisian dan kejuruteraan Perancis

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 7 Mei: Sarawak sedang meneroka potensi kerjasama dengan syarikat perisian dan kejuruteraan terkemuka dari Perancis, Dassault Systèmes, bagi mempercepatkan hasrat negeri ini dalam bidang pembuatan, inovasi digital dan pembangunan bandar pintar.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, lawatan ke Dassault Systèmes pada Selasa telah digunakan untuk memperkenalkan platform 3DEXPERIENCE kepada delegasi Sarawak.

Platform ini menawarkan penyelesaian bersepadu bagi reka bentuk 3D, simulasi, pengurusan kitar hayat produk serta perancangan bandar.

“Perbincangan memberi tumpuan kepada kemungkinan kerjasama dalam penerapan amalan Industri 4.0, pembangunan keupayaan aeroangkasa, pendigitalan projek infrastruktur, serta peningkatan bakat tempatan menerusi program latihan khusus dan penubuhan pusat kecemerlangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, beliau amat kagum dengan kepimpinan global Dassault Systèmes dalam bidang inovasi digital dan pembuatan canggih, yang dilihat sejajar dengan matlamat strategik Sarawak dalam sektor teknologi tinggi, aeroangkasa dan pembangunan bandar pintar.

Sarawak, katanya, amat berminat untuk menjalin kerjasama bersama syarikat itu bagi menyokong transformasi digital dan perindustrian negeri.

“Salah satu hasil utama daripada pertemuan tersebut ialah persetujuan awal untuk InvestSarawak bekerjasama rapat dengan Dassault Systèmes dan pihak berkepentingan tempatan bagi meneroka penubuhan sebuah Makmal Inovasi.

“Makmal ini akan menumpukan kepada latihan jurutera tempatan dalam alat reka bentuk dan simulasi 3D canggih, serta meningkatkan daya saing sektor pembuatan negeri dan menyumbang kepada pembangunan penyelesaian bandar pintar,” ujarnya.

Sesi tersebut diakhiri dengan persetujuan untuk mengadakan perbincangan teknikal susulan serta perancangan lawatan wakil Dassault Systèmes ke Sarawak dalam masa terdekat.

Langkah susulan ini dijangka menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang yang mampu memperkukuh peralihan Sarawak ke arah ekonomi berasaskan digital. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan