BINTULU, 7 Mei: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menekankan keperluan meningkatkan hasil tangkapan laut di Sarawak sebagai langkah strategik menjamin bekalan ikan mencukupi dan menstabilkan harga di pasaran.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Sarawak hanya mencatat sekitar 37,000 metrik tan hasil tangkapan setahun, jauh di bawah negeri pengeluar utama seperti Perak.
Menurutnya, negeri ini mempunyai potensi besar untuk dikembangkan, namun memerlukan perancangan dan perubahan pendekatan dalam sektor perikanan.
“Jadi, di Sarawak ini, kapal ikannya nombor enam dalam negara yang tertinggi, banding Perak. Perak lebih 200,000 tan metrik setahun, Sarawak sekitar 33,003 hingga 37,000 tan metrik.
“Ini menunjukkan bahawa usaha perlu dibuat lagi untuk meningkatkan tangkapan ikan dan juga penangkapan ikan kerana Sarawak ini buminya luas, kawasan lautnya juga luas, dan kita mempunyai kemudahan yang cukup, selesa, cukup besar seperti di Tanjung Bako dan juga Tanjung Manis untuk merancakkan lagi aktiviti tangkapan ikan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Jualan Ikan Murah Jimat MADANI di Pasar Nelayan ABF Kidurong pada Rabu.
Beliau turut menggesa penyertaan aktif nelayan di Sarawak untuk memanfaatkan zon tangkapan lebih luas dan berpotensi tinggi.
“Saya menggesa 18 Persatuan Nelayan Sarawak daripada kawasan seluruh Sarawak untuk lebih aktif dalam memastikan peningkatan serta memastikan hasil tangkapan lebih banyak.
“Perkara ini dapat dilakukan jika kita dapat menambah bilangan vesel-vesel besar, terutama yang terlibat dalam tangkapan di Zon C ataupun C2. Ini memerlukan transformasi vesel yang sekarang ini mungkin melibatkan yang ada di Zon A atau Zon B, tetapi mereka perlu berubah ke Zon C dan C2,” katanya.
Jelasnya, ia memerlukan satu anjakan minda, perubahan minda bahawa sektor perikanan memberikan satu pulangan pendapatan yang cukup tinggi.
Program itu menawarkan potongan harga antara lima hingga 25 peratus bagi membantu rakyat mendapatkan ikan segar pada harga berpatutan.-TVS