SARATOK, 7 Mei : Projek pembinaan Sistem Kritikal di Loji Rawatan Air Lichok yang dijadual siap pada Oktober 2025 kini telah mencapai 42 peratus kemajuan, iaitu 10 peratus lebih awal daripada jadual asal.
Menurut kenyataan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), projek bernilai RM28.8 juta itu dimulakan pada Februari 2025 dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 6,700 rumah panjang. Ia merangkumi pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 10 juta liter sehari (JLH) serta pemasangan saluran paip sepanjang lima kilometer dari Loji Rawatan Lichok ke Tangki Air Bukit Lebur.
Setelah siap kelak, projek ini dijangka meningkatkan sistem bekalan air terawat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Kalaka dan Krian yang kini berdepan peningkatan permintaan.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) bersama JBALB komited dalam usaha memperkukuh sistem bekalan air di kawasan terbabit.
Keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan asas rakyat turut dizahirkan menerusi pelaksanaan Projek Sistem Kritikal di Loji Rawatan Air Lichok serta Projek Bekalan Air Daerah Kabong Pakej Satu yang keseluruhannya dibiayai Kerajaan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM107.5 juta. -TVS.