MIRI, 6 Mei: Dua lelaki tempatan yang disyaki pengedar dadah ditahan dalam satu operasi khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Marudi di Long Lama, sebuah penempatan di kawasan pedalaman Miri, semalam.
Ketua Polis Daerah Marudi DSP Nor Aizan Mohd Jamil berkata dalam operasi itu polis turut merampas 60 gram dadah dipercayai syabu, dianggarkan bernilai RM6,600 dan mampu digunakan oleh kira-kira 600 penagih.
“Kedua-dua suspek berusia antara 32 hingga 47 tahun dan mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah. Ujian saringan awal turut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dianggarkan bernilai RM45,000.
Siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari Miri untuk diedarkan kepada pekerja buruh di kawasan perladangan sekitar Long Lama.
Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bermula 6 hingga 13 Mei di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Nor Aizan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui talian hotline JSJN di 012-2087222. – TVS