PUTRAJAYA, 10 Sept : Sebanyak lapan (8) peratus agihan kadar dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan (DPK) di bawah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi tahun kewangan berakhir 2020.
Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, DPK mencatatkan keuntungan sebanyak RM9.05 juta dengan keseluruhan nilai agihan dividen adalah berjumlah RM7.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
“Saya mengucapkan syabas kepada pengurusan yang telah menunjukkan satu pengurusan yang cekap walaupun dalam keadaan ekonomi negara tidak menggalakkan tetapi DPK masih berjaya mencatatkan keuntungan yang mampu memberi dividen sebanyak 8.0 pada tahun ini.
“DPK mampu memberikan pulangan yang kompetitif dan melebihi kadar inflasi secara konsisten dengan purata dividen sebenar sebanyak 8.8 peratus bagi lima tahun secara berturut-turut.
“Malah, ia terbukti semenjak tahun 2016, serta mencatatkan keuntungan konsisten setiap tahun dengan margin untung bersih melebihi 80 peratus,” katanya pada Majlis Pengumuman Agihan Dividen SPKP, DPK NAFAS 2020 pada Jumaat.
Katanya lagi, ahli-ahli pertubuhan peladang di seluruh negara digalakkan untuk melabur bersama SPKP, DPK bagi menikmati pelbagai manfaat tambahan dalam membantu meningkatkan sumber ekonomi warga tani sekaligus mengukuhkan sektor pertanian negara secara keseluruhannya.
Pada masa yang sama, pertubuhan peladang juga digalakkan untuk menambah jumlah pelaburan sedia ada yang dapat memberikan manfaat pulangan terbaik untuk seluruh ahlinya.
Untuk rekod, sejak DPK dilancarkan pada 17 Disember 2012 sehingga Jun 2021 ia telah menguruskan aset lebih RM210 juta.