KUCHING, 5 Mei: Sarawak dijangka menjana pendapatan jangka panjang untuk tempoh 25 tahun akan datang menerusi medan Kasawari yang dibangunkan di bawah inisiatif penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, medan tersebut mempunyai kapasiti penyimpanan sekitar lima juta tan karbon dioksida (CO2) setahun.
“Telaga itu menghasilkan lima juta tan karbon dioksida setahun. Jadi kalau darab dengan 25 tahun, sudah lebih 100 juta tan yang boleh disimpan. Bermaksud, kita sudah mempunyai pendapatan dijamin untuk 25 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program Media Coffee Chat anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak di sini, hari ini.
Telaga Kasawari terletak di luar pesisir Sarawak dan merupakan antara projek utama CCS pertama di Malaysia.
Ia dijangka memainkan peranan penting dalam strategi peralihan tenaga dan usaha Sarawak menjadi hab utama tenaga hijau dan rendah karbon di rantau ini. — TVS

