Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu ADR Borneo 2025 bertempat di Kuching pada Isnin. Foto TVS

ADR pemacu ekonomi baharu Borneo

ByMadeline Dugat

KUCHING, 5 Mei: Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) bukan sekadar mekanisme undang-undang malah diiktiraf sebagai satu bentuk infrastruktur ekonomi kritikal yang menyokong pertumbuhan pelaburan dan perdagangan serantau khususnya di Borneo.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ekosistem ADR yang mantap dan berfungsi dengan cekap dapat meningkatkan keyakinan pelabur sekali gus memperkukuh daya tarikan Malaysia terutamanya Borneo sebagai destinasi pelaburan langsung asing.

“Ekosistem ADR yang berfungsi dengan baik dan cekap meningkatkan keyakinan pelabur, seterusnya menguatkan daya tarikan Malaysia dan Borneo sebagai destinasi pelaburan langsung asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu ADR Borneo 2025 bertempat di Sheraton Hotel, Kuching pada Isnin.

Menurutnya, kedudukan Borneo semakin strategik dengan komitmen Malaysia terhadap Konvensyen New York dan Konvensyen Singapura mengenai Mediasi di samping pembangunan ekonomi hijau dan digital yang sedang rancak berlaku di Sarawak.

Fadillah turut menekankan kepentingan pembangunan bakat tempatan dalam memperkukuh ekosistem ADR dengan penekanan kepada pembentukan arbitrator, mediator dan pakar teknikal yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi memahami konteks budaya serta nilai masyarakat Borneo.

“Dengan bekerjasama, kita boleh meletakkan Borneo sebagai sebuah rantau yang bukan sahaja mengikut piawaian global tetapi turut menyumbang dalam membentuknya.

“Ekosistem ADR Borneo seharusnya dikenali bukan hanya kerana keupayaannya tetapi kerana komitmennya terhadap keadilan, kerelevanan dan profesionalisme,” ujarnya.

Tambahnya, ekosistem ADR Borneo bersifat adaptif dan kolaboratif merangkumi kepakaran teknikal, pemahaman budaya tempatan serta sokongan daripada institusi serantau dan antarabangsa.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan